Tuesday, May 04, 2010

KAWALAN SOSIAL BAGI MENANGANI SESUATU TINGKAH LAKU DEVIAN DAN JENAYAH

PENDAHULUAN

Perubahan dalam masyarakat pada setiap zaman menyebabkan proses sosial juga berubah. Perubahan-perubahan ini membawa pelbagai implikasi positif dan negatif. Dalam konteks masyarakat sekarang, dunia berubah ke arah kemajuan dan kepesatan pembangunan. Keadaan ini kadangkala membawa ketidakseimbangan dalam aturan sosial. Dalam mencapai pelbagai matlamat budaya dan personal, penyimpangan daripada kebiasaan pasti berlaku. Hal inilah yang dikatakan sebagai devian dan jenayah. Sejak daripada awal kewujudan manusia, devian dan jenayah sudah berlaku. Ramai ahli falsafah cuba menjawab persoalan tentang ’kerosakan’ dan ’sifat negatif’ manusia. Takrif dan puncanya masih lagi digali sehingga kini. Hal ini menunjukan perdebatan tentang fenomena ini masih lagi berlanjutan.


DEFINISI DEVIAN DAN JENAYAH

Kelakuan devian adalah satu elemen asing dalam sesebuah masyarakat. Definisi devian bergantung kepada bagaimana masyarakat mentakrifkan devian, siapa yang dikatakan sebagai devian dan apa yang masyarakat lakukan apabila ia menjadi isu dalam organisasi sosial.

Masyarakat memahami kelakuan manusia sebagai satu luahan daripada naluri biologi. Oleh itu, pada tahun 1876, Caesare Lombroso mencadangkan bahawa jenayah dibina secara fizikal. Beliau menjalankan kajian ke atas banduan-banduan di penjara. Hasilnya, ciri-ciri fizikal penjenayah dikenalpasti iaitu dahi yang rendah, rahang dan tulang pipi yang menonjol, telinga besar, berbulu lebat dan tangan yang luar biasa panjang. William Sheldon juga menggunakan konteks biologi untuk mengukur kalakuan devian seseorang. Beliau mengatakan bahawa jenayah banyak dilakuakan oleh orang yang berbadan berbadan sasa seperti ahli sukan (Mohd Reduan Aslie, 1990). Bagaimanapun, dapatan kajian-kajian ini tidak relevan kerana ciri-ciri ini juga ada pada individu bukan penjenayah.

Penjelasan psikologi pula memfokuskan kepada abnormaliti seseorang. Sesetengah tret personaliti adalah diwarisi. Bagaimanapun kebanyakannya dibentuk melalui pengalaman sosial. Oleh itu, devian dilihat sebagai satu bentuk ”produk sosialisasi” yang tidak berjaya. Kelakuan yang tidak normal ini dikatakan berkait rapat dengan jenayah serius. Penjelasan ini juga tidak boleh diterima secara mutlak kerana orang yang ”normal” juga terlibat dengan jenayah berat (Macionis J.J, 2001:193).

Lazimnya, secara moralnya, kelakuan seseorang itu ditakrifkan sebagai baik dan buruk. Melalui medikalisasi devian, baik dan buruk itu didiagnosis sebagai sihat dan sakit. (Guenther A.L; 1976 ,Lillyquist M.J; 1980). Contohnya penagihan dadah dikatakan satu penyakit. Oleh itu, orang yang menagih dadah adalah seorang yang sakit dan dia memerlukan rawatan dan bantuan yang sewajarnya berbanding dengan hukuman.

Di dalam pendekatan sosiologi, ahli-ahli sosiologi mengatakan bahawa seseorang itu tidak semestinya mempunyai sifat devian di dalam diri jika melakukan jenayah. Kelakuan devian muncul akibat daripada persekitaran manusia iaitu tingkah laku devian tidak dilihat melalui manifestasi manusia yang cacat, tetapi sebagai petunjuk persekitaran sosial yang cacat. Sifat devian mereka harus dijelaskan pada asasnya sebagai akibat daripada keadaan persekitaran mereka yang kurang sesuai dan kurang sihat (Box. S, 1987: 6). Dari sudut pandangan sosiologi, devians;

” ...can be defined as conduct which is generally thought to require the attention of social control agencies- that is, conduct about which ‘something should be done’”
(Guenther A.L, 1976: 58-59)

Devians melibatkan penyimpangan norma sesebuah kumpulan yang tidak diinstitusikan oleh undang-undang secara formal. Ia merupakan konsep yang komprehensif yang melibatkan kelakuan jenayah dan kelakuan-kelakuan lain yang tidak di bawah pendakwaan. Devian merupakan subjek yang didefinisikan oleh masyarakat tertentu pada waktu-waktu tertentu. Oleh itu, apa yang dikatakan devian itu sering berubah dari satu era sosial kepada era sosial yang lain (Shchaefer T.R, 2005: 176). Penyimpangan daripada norma ini melibatkan moral. Oleh yang demikian, semua jenayah adalah devian tetapi tidak semua devian itu jenayah. Bagi sesetengah kesalahan seperti kesalahan trafik tidak dianggap sebagai jenayah, tetapi sebagai satu kesalahan.

Jenayah adalah tindakan atau perlakuan yang menyalahi undang-undang jenayah. Ia mewakili satu penyimpangan daripada morma sosial yang ditadbir oleh pihak kerajaan (Shchaefer T.R, 2005: 188). Definisi jenayah bergantung kepada dua set norma yang berkaitan iaitu perundangan dan kod moral yang wujud dalam sesuatu budaya. Jenayah dan moral juga sering bertindih dalam ruang yang sama. Banyak kelakuan jahat manusia boleh dikategorikan sebgai perbuatan yang tidak bermoral (Mohd Reduan Aslie, 1990: 1). Jenayah mengakibatkan banyak kerugian kepada masyarakat dan negara. Selain kos yang terpaksa ditanggung oleh mangsa, pihak kerajaan juga terpaksa menanggung kos penguatkuasaan undang-undang, pelaksanaan proses pengadilan, pencegahan, pemenjaraan dan pemulihan. Secara amnya, Sesuatu kelakuan itu dikatakan sebagai “jenayah” jika ia melanggar undang-undang formal iaitu undang-undang yang telah diaktakan.

SIGNIFIKAN KAWALAN SOSIAL JENAYAH

Kawalan sosial adalah aspek dalam masyarakat yang melindungi aturan moral. Kawalan sosial bermaksud percubaan masyarakat untuk meregulasi fikiran dan kelakuan ahli masyarakat. Roucek mengatakan bahawa kawalan ialah;

“ A collective term for those process, planned or unplanned, by which individual are thougt, persuaded, or compelled to conform to the usages and life-values of groups”
(Roucek, 1956:3)

Selain itu, kawalan sosial merujuk kepada;

” Semua proses yang menyebabkan individu akur pada norma masyarakat termasuk undang-undang jenayah, pihak polis, mahkamah dan institusi tahanan”
(Rokiah Ismail, 2002: 89).


Kawalan sosial bersifat fungsional. Matlamat utama kawalan sosial ialah untuk menentukan kedudukan seseorang dalam kumpulannya melalui nilai dan folkways. Kawalan sosial mempunyai pelbagai fungsi seperti menghukum, mendisiplin, menangkis, membalas, memdidik, memulihkan dan mensosialisasikan. Terdapat dua jenis kawalan sosial iaitu kawalan sosial formal dan kawalan sosial tidak formal. Perbincangan ini akan menumpukan pada kawalan sosial formal. Kawalan sosial formal melibatkan sistem tatacara dan sistem autoriti seperti peraturan, undang-undang dan peranan agen-agen seperti polis, mahkamah, pusat tahanan atau pusat kebajikan masyarakat (Rokiah Ismail, 2002: 90).

Kawalan sosial formal adalah dalam bentuk undang-undang yang telah diaktakan oleh pihak berkuasa. Ia bersifat rasmi dan perlu dipatuhi oleh penduduk di wilayah tersebut. Sistem keadilan jenayah adalah satu sistem kawalan sosial rasmi. Agen-agen kawalan sosial sistem keadilan jenayah bertindak balas terhadap pelanggaran undang-undang jenayah sahaja. Antara komponen sistem keadilan jenayah ialah polis, mahkamah dan hukuman yang dikenakan terhadap pesalah (Fuller J.R, 1998). Setiap komponen dalam sistem keadilan jenayah mempunyai bidang kuasa tersendiri dan kuasa tersebut hanya sah dalam bidang-bidang yang diperuntukkan sahaja.

Polis merupakan agen kawalan sosial rasmi yang utama dalam masyarakat. Polis adalah penghubung antara masyarakat dan sistem keadilan jenayah. Di Malaysia, Kanun Acara Jenayah telah menggariskan tugas dan tanggungjawab pegawai polis iaitu setiap anggota polis hendaklah menahan berlakunya sebarang kesalahan yang lazim ditangkap, menyampaikan maklumat jenayah kepada ketua dan mana-mana pegawai yang tugasnya mencegah dan menjalankan tindakan kesalahan itu dan mencegah seseorang daripada merosakkan harta orang ramai (Mohd Reduan Aslie, 1990:309).

Agen kawalan yang seterusnya ialah mahkamah. Mahkamah merupakan tempat yang adanya kuasa dalam sistem keadilan jenayah. Selepas tangkapan oleh pihak polis dibuat, pesalah akan dihadapkan ke mahkamah untuk menentukan sama ada suspek bersalah atau tidak bersalah. Mahkamah menentukan bentuk hukuman yang akan dijatuhkan kepada pesalah dan membuat keputusan tentang bagaimana agensi keadilan jenayah lain mengurus bidang mereka. Mahkamah diwujudkan untuk meminimumkan konflik manusia. Dalam masyarakat yang demokratik di mana ahlinya masing-masing secara bebas mengejar matlamat, mahkamah berfungsi sebagai forum pengantara di mana perbezaan dan ketidakpuasan hati disuarakan. Mahkamah juga berfungsi sebagai penegak keadilan. Tanpa mahkamah, manusia akan bertindak dan menghakimi orang lain dengan bebas. Hal ini akan menyebabkan huru hara dalam sitem sosial manusia kerana manuasia bertindak sesuka hati. Oleh itu, mahkamah menyediakan perkhidmatan penting kepada komuniti dengan menginstitusikan konflik tersebut melaui satu prosedur dan forum yang dipersetujui bersama (Fuller J.R, 1998).

Setelah melalui prosedur di mahkamah, pesalah akan dijatuhkan hukuman. Terdapat empat jenis bentuk hukuman iaitu balasan (retribution), pencegahan (deterrence), pemulihan (rehabilition) dan mengawal (societal protection) (Lillyquist M.J, 1980).

Hukuman berbentuk balasan merupakan satu perbuatan balas dendam moral oleh masyarakat kepada pelaku akibat perbuatan yang telah dilakukannya. Pendekatan ini melihat masyarakat sebagai keseimbangan moral. Apabila keseimbangan ini terjejas akibat perbuatan jenayah, hukuman hendaklah dijalankan mengikut ukuran keteraturan moral. Di dalam hal ini, mangsa atau pihak mangsa jenayah boleh menuntut ganti atau pembalasan akibat perbuatan yang dilakukan oleh pesalah terhadap pihak mangsa.

Pencegahan atau deterrence adalah percubaan untuk mengurangkan penjenayahan melalui hukuman. Ini adalah respon daripada hukuman balasan yang berdasarkan idea Enlignment iaitu manusia adalah mahkluk rasional dan tidak akan melanggar undang-undang jika terlebih dahulu berfikir tentang akibat yang akan diterima jika melakukan jenayah. Hal ini menyebabkan seseorang individu itu dapat dicegah daripada melakukan jenayah. Terdapat dua jenis pencegahan iaitu pencegahan individu dan penjegahan umum. Pencegahan individu ialah apabila seseorang itu melakukan jenayah dan ditangkap, individu tersebut insaf daripada melakukan perbuatan jenayah lagi kerana individu tersebut tahu akibat yang akan menimpanya jika dia melakukan kesalahan tersebut. Pencegahan umum pula ialah masyarakat mendapat iktibar dan pengajaran daripada orang lain yang dihukum setelah melanggar undang-undang (Lillyquist M.J, 1980; Fuller J.R, 1998). Pencegahan umum dilihat pencegahan yang penting kerana ia signifikan untuk memastikan undang-undang berfungsi secara optimum.

Bentuk pemulihan ialah satu program yang membentuk kelakuan seorang pelaku daripada melakukan kesalahan berulang. Secara logiknya, jika pelaku boleh belajar untuk menjadi seorang devian, dia juga boleh belajar untuk mematuhi peraturan dan kunci utamanya adalah dengan mengawal persekitaran. Dalam bentuk ini, pesalah disosialisasikan semula supaya diterima oleh masyarakat. Contohnya modifikasi kelakuan untuk golongan pesalah juvana (Siegal L.J, 2002). Jenayah dilihat sebagai masalah sosial atau masalah peribadi pelaku. Oleh itu, keadaan sosial diperbaiki dan rawatan diberikan kepada pelaku.

Langkah kawalan pula adalah pendekatan rasional untuk menghukum dan juga melindungi masyarakat daripada jenayah. Pesalah-pesalah biasanya diletakkan di penjara bagi mengawal keselamatan masyarakat dalam satu jangka masa yang ditetapkan. Ini membolehkan perbuatan jenayah pesalah akan terhenti serta -merta. Hukuman ini dalam kebanyakan kes adalah efektif.

RUMUSAN

Keberkesanan kawalan sosial bergantung kepada keberkesanan perancangan sosial masyarakat. Melihat kepada peningkatan jumlah jenayah terkini, adalah penting kawalan sosial yang efektif diperlukan. Ini termasuklah inovasi terhadap kawalan sosial sedia ada bagi memaksimumkan keberkesanannya. Walaupun telah banyak kawalan sosial dilakukan, masih terdapat kekurangan padanya. Sama ada dari segi teori ataupun dari segi pelaksanaannya.

Kita harus ingat bahawa jenayah tidak boleh dilenyapkan terus walaupun penguatkuasaan yang dilakukan amat ketat. Hal ini kerana sebagai manusia, kita mempunyai pelbagai kelemahan. Jika menurun pun indeks jenayah, tetapi tidak dapat dinafikan jenayah masih juga berlaku.



RUJUKAN

Box. S, 1987. Devian, Realiti dan Masyarakat. Terj. Cheu Hock Tong. Kuala Lumpur: Dewan bahasa dan Pustaka

Fuller J.R, 1998. Criminal Justice: A Peacemaking Pespective. Boston: Allyn and Bacon.

Guenther A.L, 1976. Criminal Behavior And Social System: Contributions of American Sociology 2nd Edition. Chicago: Rand McNally College Publishing Company.

Horwitz A.V, 1990. The Logic of Social Control. New York: Plenum Press.

Jeffery C.R, 1977. Crime Prevention Through Environmental Design. Beverly Hills: Sage Publication Inc.

Lillyquist M.J, 1980. Understanding and Changing Criminal Behavior. New Jersey: Prentice Hall

Macionis J.J, 2001. Sociology 8th Edition. New Jersey: Prentice Hall.

Mohd Reduan Aslie, 1990. Jenayah di Malaysia: Aliran, Punca dan Penyelesaian. AMK Interaksi Sdn Bhd.

Rokiah Ismail, 2002. Kawalan Sosial dan Pelbagai Dimensi Fungsinya dalam Strategi Menangani Masalah Jenayah dan Delinkuensi di Malaysia. Dlm Rahimah Abd. Aziz dan Mohamed Yusoff Ismail. Masyarakat, Budaya dan Pemodenan. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Roucek J.S, 1956. Social Control. Canada; D. Van Nostrand Company Inc.

Shchaefer T.R, 2005. Sociology. Boston: McGraw Hill.

Siegal L.J, 2002. Juvenile, Delinquency: The Core. Belmont: Wadswort/ Thompson Learning.

No comments:

Post a Comment